"Abang, bila Paesh nak baik ni?"
"Tak lama lagi dik... keajaiban akan datang."
Aku terus memberi, dan terus memberi harapan kepada anak kecil ini. Satu mimpi ataupun realiti yang aku sendiri tak pasti. Sesuatu yang aku tak boleh janji. Sesuatu yang palsu dan aku sudah sedia tahu kepalsuannya. Aku berdusta. Berdusta hanya untuk memberi satu harapan. Harapan untuk anak kecil ini terus yakin melangkah mengejar sesuatu impian yang tak pasti - biar dengan kerusi beroda dua, atau kaki berampang empat. Menanam impian palsu yang aku dustakan itu dalam hati kecil mereka dan terus melangkah. Dan kedustaan itu menjadi kepercayaan hidup mereka akhirnya. Sesuatu yang besar dan bermakna... biar lama, biar payah; akan mereka teruskan jua. Sesuatu yang tidak difahami oleh orang-orang macam aku. Orang-orang yang sempurna fizikalnya.
Kadangkala aku rasa serba salah... untuk berlari, melompat, mencangkung, menendang, menari, di hadapan mereka. Biar mereka terhibur dengan apa jua gerak yang aku lakukan - terkedek-kedek macam itik, melompat-lompat cangkung macam katak, merangkak pantas seperti harimau sewaktu menghibur mereka. Dalam gelak tawa itu, mereka berimpian yang suatu hari nanti mereka juga bisa bergerak seperti aku. Aku berasa serba salah, dan kadang-kadang menangis dalam tawa melihat senyuman dan gelak tawa mereka itu. Kejamkah aku beraksi di hadapan mereka dengan begitu lincah sekali sedang mereka hanya duduk diam di atas kerusi beroda itu? Kejamkah aku membuatkan mereka terkilan dalam tawa kerana tidak mampu beraksi seperti aku?
Kejamkah aku terus-terusan memberi harapan palsu kepada mereka?
"Faris... maafkan abang. Adik-adik semua... maafkan abang."
*sebuah catatan mengenai Faris dan kawan-kawannya di Pusat Harian Harapan Bakti
No comments:
Post a Comment