Soul Eater Logo

Wednesday, January 28, 2015

Wanita Tersayang Seluruh Dunia

Januari 2015.

Dekat FB dan media sosial yang lain sekarang ni tengah viral kononnya akan diwujudkan satu perkara bawah Akta Kanak-kanak yang baru nak dipinda yang akan menyabitkan perbuatan merotan kanak-kanak (oleh ibubapa) sebagai satu kesalahan yang boleh dihukum penjara. Well, aku tak nak komen apa-apa sebab akta ni belum dipinda atau sahih akan dijalankan. Aku juga bukan pakar mendidik anak-anak kerana aku belum sah menjadi seorang bapa (yang kacak!). Cuma cakap pasal rotan ni, teringat pula kat kisah lama.

Zaman kanak-kanak aku dulu, aku dengan adik-beradik lain dah survive hanger baju, pembaris, getah paip, rotan dan sebagainya. Senjata yang official selalunya hanger lah - tak kira plastik atau dawai. Sampai patah-patah. Aku dan adik-beradik lain takdelah nakal ekstrim sampai mak abah kena beli rotan semata-mata nak pukul. Benda yang tercapai waktu kami degil selalunya adalah hanger lah. Kena pukul walaupun sakit, tapi tujuannya untuk mendidik. Kalau tak, aku takdelah sampai masuk universiti sekarang ni. Bukanlah nak kata rotan tu punca kejayaan yang mutlak. Tapi ia adalah alat mendidik yang paling efektif kalau di apply pada cara yang betul.

Senjata yang paling ekstrim ialah getah paip - yang ni kakak aku seorang je pernah kena. Lepas dia kena, adik-adik lain dah tak berani dah. Tambahan pula yang pukul tu adalah abah. Abah jarang marah. Yang selalu jadi penguatkuasa hukuman adalah mak. Seingat aku, itulah 1st time dan terakhir abah hukum anak dia.

Walaupun banyak kali kena hanger; senjata ultimate mak yang aku kena adalah cubitan berbisa dia. Aku dulu panggil 'cubitan semut api'. Serious semut api! Berbekas beb kalau kena; kadang-kadang luka. Cubitan agung yang aku kena masa darjah 2.
Cerita dia macam ni; satu tengahari tu mak ajar aku mengaji. Mengeja. Alif atas 'A', Alif bawah 'I', Alif depan 'U'... A, I, U...
Waktu tu aku bukanlah tak pandai baca Muqaddam. In fact, aku agak bright juga. Tapi yang jadi masalahnya ialah semenjak aku masuk sekolah, mak dah tak ajar aku mengaji. Tapi tiba-tiba hari tu dia ajar. Jadi otak aku susah nak set balik silibus mak. Sebabnya dekat sekolah agama aku belajar Alif fathah 'A', Alif kasroh 'I', Alif dhomah 'U'... A, I, U. Aku guna bahasa Arab. Tanwin, Mat;... dan semua istilah tajwid dalam Bahasa Arab. Jadinya bila mak ajar, aku terpaksa reset balik otak dan waktu tu proses terjemahan Arab ke B.M aku agak lembab. So, mak ingat aku ni bodoh tahap tenuk lah pasal benda senang pun tak boleh baca. Atau mak ingat waktu tu aku tengah protes sebab malas. Yang aku pula tak nak cakap kenapa tak nak baca. Sebab aku takut mak marah dan mak terasa hati kalau aku cakap; kat sekolah tak guna atas, bawah, depan mak... orang guna fathah, kasroh, dhomah. Aku takut kalau aku cakap macam tu mak rasa aku perkecilkan dia sebab tak guna Bahasa Arab. Jadi aku pilih untuk diam. Mak cubit aku kat peha sebab aku tak nak baca, tapi dia tak tahu sebabnya. Dia paksa-paksa baca - dia ingat aku degil. Sampai lebam mak cubit aku kat peha kiri. Kulit dan daging terkoyak - biru. Dekat seminggu baru sembuh. Sampai sekarang ada bekasnya lagi.

Tapi itulah kali terakhir mak guna cubitan maut tu sebab lepas abah balik kerja; aku mengadu yang mak cubit masa mengaji. Lepas tu abah tegur mak; kenapa cubit teruk sangat?
Bila abah tegur mak aku still rasa bersalah sebab tak bagitau hal yang sebenar kenapa aku tak nak baca. Bukan tak nak baca time tu, tapi nak jaga hati mak.

Sampai sekarang pun mak tak tahu hal mengaji ni. Mungkin dia dah lupa. Tapi kesan cubitan berbisa tu masih ada sebagai bukti. Bukti kasih sayang mak. Dan bukti yang memang dari kecik lagi aku selalu ambik cara yang paling susah dan bodoh bila nak jaga hati orang lain. Kes ni selesai kalau aku terus-terang kat mak kenapa aku tak nak baca kan? Tapi takpelah, masa tu umur 8 tahun. Naif lagi.
Tapi kalau peristiwa tu jadi lagi sekarang ni, aku tetap akan ambil langkah yang sama : berdiam diri dari cakap benda yang mungkin buat mak kecil hati.


Sayang Mak. Wanita tersayang seluruh dunia.

Asal-Usul Jenama Fumakilla : Sebuah Sejarah yang memerlukan Citation.

Malam ni aku betul-betul berperang dengan nyamuk. Bertepuk-bertampar. Nyamuk-nyamuk ni dah makin banyak. Bercambah-biak. Dah tu bila kena asap dari ubat nyamuk dia tak lari pulak ke apa. Relax je... Siap buat 'peace' kat gua.

Lepas tu ada satu nyamuk betina jalur-jalur tu siap sound aku;

"Alaaa... bro, kitorang tak mainlah asap-asap ni bro. Old-fashion la lu ni."


Eh,eh... Jalang betul nyamuk ni aku tengok. Siap guna bahasa bohsia lagi sound aku. Yang aku pelik nyamuk ni siap pandai bercakap lagi. Betul-betul berevolusi. Dah tu dia siap tambah lagi;

"... gua ni keturunan Raja Nyamuk tau. Nyamuk yang bunuh Raja Namrud. Gua tak gentar la;" ujar nyamuk betina tersebut yang digelar Nana Evans 2 oleh kawan-kawan nyamuknya.


Kalau betul lah dia cucu-cicit nyamuk yang bunuh Raja Namrud;  masak aku! Tok nenek dia dulu tu masuk ikut hidung Raja Namrud tu lepas tu pergi ke otak, hisap darah kat otak. Sampai mati tokoh Jahiliah tu.

Aku pasti yang masa tu hidung Namrud mesti licin takde bulu hidung. Tapi dengan izin Allah aku rasa semua ni terjadi. Dan aku rasalah, mesti atuk dia dah tersedut sekali beberapa cairan otak si Namrud ni tadi sebab tu keturunan nyamuk ni tadi special sikit; siap boleh bercakap lagi. Aku tak heran benda ni, pasal nyamuk ni evolusi dia agak power. Dari zaman prasejarah diorang dah wujud. Tahap survival tinggi. Masa zaman Denggi dan J.E lagilah. Ramai yang mati sebab diorang ni. Ini membuktikan yang bukan sahaja kepandaian Namrud yang diorang sedut, tapi sifat jahat dan memusnah sekali. Haram sungguh!

Aku bengang, aku panggil member aku Fuma suruh settle nyamuk betina ni tadi. Pasal Fuma ni lagi besar dari aku saiz dia. Antibodi dia pun lagi kuat. Lepas tu aku rasa kalau nyamuk ni masuk hidung si Fuma ni pun mesti gagal. Mati dalam hidung sebelum sampai ke otak. Pasal Fuma hidung dia panjang. Fuma ni seekor gajah.

Setelah aku janji manis kat Fuma nak belikan dia Din Dang dengan belanja lempeng pisang; Fuma pun setuju nak halau nyamuk-nyamuk ni tadi. Ya, dia berjaya. Dia pergi sembur racun serangga yang dia sedut guna hidung dia. Lepas tu sembur ke nyamuk-nyamuk Evans ni tadi. Mati semua. Tapi yang sedih tu lah... Fuma pun mati. Racun tu effect kat hidung dia walaupun dia bukan serangga. Dia kena kanser hidung 2 bulan lepas tu.

Lepas Fuma mati, aku tolong urus duit KWSP dia bersama-sama balu dia. Balu dia yang mintak tolong uruskan hal-hal mintak cop pesuruhjaya sumpah, beli setem berbayar apa semua. Dah tu, balu dia guna duit ni tadi buka kilang racun serangga; especially untuk bunuh nyamuk. Kitorang abadikan gambar Fuma kat kotak pembungkusan... sampailah sekarang.

In memory of my friend; Fuma the mosquito Killa.

Saturday, January 17, 2015

Jenazah Cinta

"Kenapa?"

"Kenapa apa?"

"Kenapa diam?"

"Entahlah. Tak tahu nak cakap apa. Takde topik."


Kemudian diam itu bersambung lagi. Buat beberapa detik seterusnya.


"Awak O.K ke?", aku pula yang pura-pura bertanya.


"O.K je... "(Senyum).

"Tadi kan, kat tempat kerja... ";

...lalu dia mula bercerita. Melalut-lalut... menerawang tinggi hingga ke ruang-ruang paling dalam sehingga ceruk yang tak pernah diteroka. Habis segala tatabahasa dan perbendaharaan katanya keluar dalam ceritanya itu. Dia menggunakan segala-sehabis daya kata dan bahasa untuk bercerita pada aku. Walaupun ceritanya itu cuma kisah biasa hal-hal di tempat kerja. Dia cuba menghidupkan suasana yang bungkam. Yang sunyi; sepi. Waktu itulah aku nampak kejujuran dalam matanya. Dia pamerkan sifat sebenarnya sewaktu bercerita itu. Tidak ditapis-tapis. Clumsy; cemerkap. Wanita comel seluruh dunia.

Tapi sayang, segala puji itu hanya terbungkam di hati.
Ada sejuta lagu untuk dia, puisi agung hanya untuknya, lukisan mahakarya yang aku lukis untuknya.
Tapi tak sempat dipersembah.

Asalnya menunggu masa matang untuk dipersembah semuanya: satu-per-satu.

Tapi sayang, kini ia hanya jadi memorabilia sepi. Yang kertas bait-bait lagu dan sajak itu jadi artifak kekuningan. Menunggu masa untuk dibakar - bila dapat kekuatan.



*********************************************************************************



Saat menjauh tu, aku kata;

"Tunggulah."


Tapi persoalan 'tunggulah' itu dia tak dapat baca dengan sempurna. Dia tak tahu yang aku tengah merancang dengan sempurna - sebaik mungkin - untuk jadikan dia wanita terbahagia seluruh dunia. Dan hanya tunggu sedikit masa saja untuk fasa yang terakhir. Sama macam masterpiece-masterpiece yang aku ciptakan untuknya : telah bersedia cukup lama, hanya tunggu saat yang betul saja untuk dipersembah dengan cara yang paling sempurna.

Silap aku juga, aku tak pandai berkata-kata bila berhadapan dengan dia. Kosa kata aku selalu tersekat walau yang nak diperkata itu berselirat gumpal menunggu luah. Oleh itu, dia gagal memahami.



*********************************************************************************



Tapi betullah; "Kun Faya Kun!"

Saat akhir, dia tarik diri.
Dia tak sanggup tunggu lagi; padahal dah lama bertahan, tapi tiba-tiba saja berhenti?
Tentulah... Keputusan yang sebesar itu tentunya ada katalis.
Tapi tak kisahlah apa pun katalisnya, keputusan tetap di tangan dia.
Tapi akhirnya dia mengambil keputusan untuk berhenti menunggu dan beralih arah.
Mungkin dia nampak dah takde maknanya menunggu + dah ada pelabur janji yang lain sebagai katalis. Tapi apa yang dia tak nampak ialah dia hanya perlu sedikit masa saja lagi : langkah kaki lagi sebelah - dan segala apa yang dia impikan tercapai.

Tapi aku tak kata apa-apa. Tak memujuk. Diam. Lebih diam.
Aku cuma percaya dia. Percaya. Percaya.

Percaya. Percaya.

Dah dua kali... aku percaya.
Yang berhenti percaya sekarang ni adalah dia.

Aku kata pada diri;

"...aku tak marah, tak benci, tak cakap apa-apa. Sebab aku percaya pada tuhan : lama sebelum aku letakkan kepercayaan pada kau. Jadi bila kau pergi dan berhenti percaya pada mimpi-mimpi indah yang kita cuba bina; aku tak kata apa-apa. Sebab aku redha."

Tapi itulah... semua ini hanya dalam hati. Dia tak mungkin mendengar.

Mati.
Akhirnya aku mati dengan perasaan sendiri.



*********************************************************************************



Selamat tinggal mimpi-mimpi dunia!
:)



*********************************************************************************



16 Januari 2016


B. PAHAT - Polis menemui mayat seorang lelaki berusia 20an dalam keadaan sempurna di sebuah padang bola sepak sekitar kawasan taman perumahan di sini. Lelaki yang lengkap berpakaian itu ditemui bersama sebuah kotak kasut hitam yang mengandungi beratus pucuk surat dan nota tulisan tangan yang mengandungi bait-bait sajak dan puisi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Noor Rizuwan Zolkepli berkata, kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dari laporan awal forensik di lokasi kejadian. Beliau juga menolak kes ini adalah perbuatan jenayah atau bunuh diri berikutan tiada penemuan objek berbahaya ataupun tanda-tanda kecederaan yang boleh mengakibatkan kematian.

"Kami percaya mangsa meninggal dunia secara semulajadi. Namun bedah siasat tetap akan dilakukan bagi mencari punca kematian," katanya.

<<Klik sini untuk berita penuh.>>
<<Berikutnya : Ifa Raziah Nafi Beli Dildo.>>



*********************************************************************************



"Tuan, forensik kata laporan bedah siasat budak hari tu yang mati kat padang dah siap."

"Dah tu? Bagilah kat Tuan Hisham! Aku dah suruh dia handle."

"Ada benda pelik Tuan."

"Apa dia?"

"Roh dia hilang!"

"Tak kelakar. Kalau aku suruh kau jilat kasut aku bagi kilat baru kelakar."

"Jantung dia... kata Dr. Cheng, jantung dia takde!"

"Curi organ?"

"Takde kesan bedah! Itu yang peliknya. Kata Dr. Cheng macam hilang sendiri!"

"Pelik kes ni... Panggil paderi! Cepat!"

"Nak buat apa Tuan?"

"Itu baru kelakar!"



*********************************************************************************



"Pergi matilah dengan syair, lagu, dan sajak-sajak engkau tu.
Jantung... hati kau... tulang rusuk kiri atau apa-apa saja sebenarnya tak berbaloi untuk perempuan macam tu. Saat aku diarahkan tarik nyawa kau, aku tarik je. Masa tu hanya amal kau je yang mampu tolong kau dalam perjalanan seterusnya. Bukan cinta kau. Bukan perempuan tu. Faham?"


yang benar,

Izrael.


*********************************************************************************








Friday, January 16, 2015

Girang Riang Terang Benderang

Bermainlah dengan girang,
Hidup dengan riang.
Amalkan berterus terang;
Terang benderang.



:)

Wednesday, January 14, 2015

Cerita Dari Atok

Atok aku (nenek sebenarnya; tapi dipanggil Atok sebagai merujuk kepada panggilan Atok Perempuan) umur dia dah 70 an (2015). Umur dia dalam linkungan 74 atau 75 tahun dalam jangkaan aku. Sebab sebenarnya dia pun tak tahu tarikh atau tahun dia dilahirkan secara tepat. Masa tukar IC Malaysia yang baru sekitar tahun 2002, aku tanya dia;

"Harijadi atok berapa haribulan?"

Dia kata dia pun tak tahu. Dia tak ingat dia lahir tahun bila atau berapa haribulan. Dia pun tak pernah sambut harijadi. In fact, tarikh lahir dan tahun lahir pada IC lama tu pun pegawai JPN yang agak-agak buat anggaran.

Masa aku kecil, atok aku kadangkala suka bercerita. Yang selalunya cerita tu akan diakhiri dengan pantun ni : "Cerita cerinti, taik mata buat inti." - Sebelum dia bangun dan sambung buat kerja lain.

Biasanya dia akan bercerita waktu tengahari time rehat-rehat ataupun pukul 3 - 4 petang waktu aku tolong dia 'buat penyapu lidi'.

Dulu dia akan masuk ke kawasan kebun kelapa sawit dengan menunggang motosikal Honda C70 kaler biru. Dia akan pergi ke pelepah kelapa sawit yang dicantas pekebun (biasanya disusun di atas tanah dalam barisan oleh pencantas buah sawit dan dibiarkan kering sebab tak digunakan lagi). Dia akan raut daun kelapa sawit dekat pelepah tu. Kemudian kumpul dan ikat pakai getah blada. Getah blada ni getah yang dibuat dari tiub motosikal yang dah tak pakai. Biasanya ambil kat bengkel motor. Dicarik, kemudian dijadikan tali untuk pelbagai kegunaan. Lepas dikumpul dan diikat, daun kelapa sawit ni tadi akan dilonggok atas motor. Selalunya yang dibawa balik dalam 2-3 ikat sebesar pemeluk. Kadang-kadang daun-daun ni tadi dimasukkan dalam guni saja, tapi still kena ikat juga sebab ia ringan. Mesti akan terbang punya kalau bawa motor laju-laju.

Proses seterusnya dia akan bentang guni plastik (guni baja) kat lantai beranda untuk letak daun-daun pelepah sawit ni tadi. Kemudian dia akan duduk bersila atau duduk atas bangku kecik - pakai sarung tangan kain (sarung tangan kontraktor) - dan raut daun sawit ni tadi untuk pisahkan antara lidi dan daunnya. Bila dah bersih, lidi-lidi ni tadi akan dikumpul seikat dalam saiz yang mampu digenggam tapak tangan. Nah! Siaplah penyapu lidi! Oh, ya... Lidi-lidi ni tadi juga diikat guna getah blada yang sama, tapi saiz kecil sedikit. Kemudian, dia akan jual penyapu lidi ni tadi dengan harga RM 1.50 atau RM 2.00. Jual kat rumah je. Orang kampung akan datang bila nak beli. Kadang-kadang permintaan melebihi produk. Penyapu lidi yang baru siap tu biasanya bau wangi (wangi daun) dan bewarna hijau muda. Lembut pula tu.

Waktu keseluruhan proses tu tadi, biasanya aku akan tolong masa proses meraut lidi kat beranda tu. Kadang-kadang rajin, kadang-kadang malas nak tolong. Haha... Biasalah, budak-budak. Pernah juga aku ikut dia ke kebun kelapa sawit untuk kumpul daun dari pelepah. Tak lah selalu, tapi kerap juga. Aku ingat lagi, ada satu hari tu aku dengan atok aku ke kebun berdua naik motor Honda tadi untuk ambik daun kelapa sawit. Lepas tu dekat kebun; waktu rehat tu... dia ajar aku jadi Tarzan. Dia bergayut dekat pelepah kelapa sawit yang terjuntai lepas tu swing lintas lopak air dan lumpur. Lepas tu kitorang gelak-gelak. Terserlah lagi sifat keanak-anakan dia walaupun masa tu umur dia dah 60 an. Atok aku memang lasak dan aktif orangnya. Maklumlah, wanita pekebun. Masa muda-muda jenis yang angkat baja atau tong getah yang berpuluh kilo dengan selamba.

Berbalik kepada cerita sewaktu meraut lidi penyapu sawit ni tadi. Atok aku suka bercerita sewaktu meraut untuk hilangkan bosan. Cerita zaman dulu-dulu dia. Zaman muda-muda. Biasanya cerita-cerita kelakar lah. Ada dua tiga cerita yang tak lah menarik sangat atau kelakar bagi aku, tapi masih melekat dekat kepala otak aku ni sampai sekarang. Mungkin sebab interesting kot.


1. Cerita Budak Merajuk

    Masa Jepun invade Malaya, atok aku claim waktu tu umur dia dalam 2 - 3 tahun. Jepun serang Malaya tahun 1942 tak silap aku, so maksudnya cerita ni circa 1942 atau 1943 la. Waktu zaman tengah darurat. Rakyat jelata tak boleh suka-suka berada merata-rata di jalanan. Nanti kau akan kena tangkap dengan Nippon.

Atok aku ni anak kelima daripada enam adik beradik. Dia ada 3 orang abang, sorang kakak, dia, kemudian baru adik bongsu lelaki. Cerita ni jadi masa umur dia 2 tahun di Parit Botak. Parit Botak ni masa tu banyak lagi kawasan sawah. Sekarang susah nak jumpa sawah dekat Johor terutamanya Batu Pahat. Semuanya dah ditanam kelapa sawit. Ceritanya masa umur dia 2 tahun tu, dia kena jaga adik dia yang bongsu; Tok Usu aku. Tapi dia tak nak sebab dia merajuk pasal benda lain. Biasalah...budak umur 2 tahun kan. Sebab tak nak jaga adik dia, mak dia marah dia lah sebab tak boleh diharap. Konon-kononnya dia ni kecik hati lah; lepas tu lari dari rumah.

Bila orang semua tengok dia takde dekat rumah, semua kelam kabut. Abang sulung dia (arwah Tok Long) masa tu pula baru sampai dari luar daerah (bekerja kot... waktu ni umur dia dah 17 tahun macam tu). Jadi abang sulung dan kedua dia yang dah dewasa ni keluar lah cari merata kampung. Cari budak umur dua tahun yang tak pakai baju, pakai seluar pendek je yang merajuk lari rumah. Cari keliling kampung. Last-last jumpa budak merajuk ni tadi tengah tidur dekat bawah pondok tengah-tengah sawah. Dah petang pula tu. Lepas tu abang-abang dia ni bawa dia balik rumah. Tapi tahulah apa jadi kan, kena marah balik lah dengan nyayi aku (moyang perempuan).

 Cerita ni tak lah menarik; tapi agak naif. Cerita budak umur 2 tahun - tak pakai baju - merajuk lari tidur kat sawah masa zaman Jepun. Every picture and frame tergambar dalam kepala otak aku betapa naifnya atok aku masa zaman kecik dia tu. Banding dengan budak umur 2 tahun zaman sekarang, aku rasa macam tak lojik. Tapi bila aku pergi ke kampung orang asli 2 tahun lepas; aku saksikan sendiri budak perempuan umur 2 tahun gendong adik dia bayi baru 4 - 5 bulan dalam gelap malam takde lampu sambil main bola - aku jadi percaya cerita ni. Aku boleh gambarkan cerita atok aku dengan lebih jelas. Way to different dengan budak-budak umur 2 tahun zaman sekarang.


2. Cerita Cincin Tulang
 
Cerita yang ni sahih ke tak aku tak tahu lah. Tapi dengar macam tak logik juga. Cerita ni pun jadi masa atok aku kecil lagi. Cerita ni pasal Tok Usu dia. Tok Usu XXX (xxx tu pasal nama belakang dia aku dah tak ingat). Tok Usu XXX ni adalah Tok sedara kepada atok aku, pangkat cousin lah... menurut ceritanya. Tok Usu XXX ni digambarkan sebagai seorang yang lurus bendul dan kelakar. Macam Pak Pandir.

Masa zaman Jepun, ada satu khabar angin tersebar yang mengatakan Aji-No-Moto ni diperbuat daripada tulang manusia. Diambil dari mayat mereka yang mati dalam perang. Atok aku kata; zaman tu dia sendiri tak percaya. Dia kata; "Takkan lah ramai sangat orang mati selonggok gitu nak ambik tulangnya buat Aji-No-Moto". Lepas tu aku explain kat atok aku yang Aji-No-Moto tu diperbuat daripada ubi kayu. Tapi pada aku, khabar angin tu tersebar atas sebab gerakan anti-Nippon zaman tu. Boikot.

Berbalik kepada cerita Tok Usu XXX yang kelakar ni tadi. Nak dijadikan cerita, pada suatu malam selepas menunaikan Isya' dekat surau kampung; Tok Usu XXX ni nak balik lah rumah dia. Tok Usu XXX ni bawa andang (sebagai lampu untuk menerangi jalan). Dalam perjalanan tu, tiba-tiba dia ternampak sesuatu objek berkilat warna putih kat atas tanah bila terkena cahaya lampu dari andang. Jadi dia pun berhentilah dan cuba tengok objek tu. Objek tu berbentuk bulat dan ada lubang di tengah-tengahnya. Bewarna putih. Jadi kemudian Tok Usu XXX ni ambil objek tu dan masukkan jari kat lubang dia. Dia sarungkan objek tu macam cincin pada jari. Fit! Lepas tu dia sambunglah perjalanan pulang sambil pakai objek tu kat jari.

Lepas sampai je rumah, dia pun tidur. Masa dalam tidur tu dia bermimpi yang ada suara marah dia supaya buka objek yang disarungkan pada jari sebagai cincin tu. Dan disuruh tanam balik benda tu kat tanah.

Jadi bila waktu pagi, ada seorang ahli keluarga lain yang perasan Tok Usu XXX dengan 'cincin' barunya itu. Sedangkan Tok Usu yang pandir ni selamba je buat kerja macam biasa. Setelah diperhati oleh ahli keluarga lain, rupanya cincin yang dipakai Tok Usu XXX ni rupanya cebisan dari tulang manusia! Tapi tulang bahagian mana tak tahulah. Atok aku kata ada yang berpendapat mungkin bahagian tulang belakang sebab ada lubang. Lepas tu, Tok Usu XXX ni kena marahlah dan disuruh tanam balik tulang tu dekat tempat dia jumpa.


3. Cerita Tok Usu XXX Keteguran

Keteguran dalam Bahasa Jawa ni maksudnya disapa makhluk halus. Masa zaman dulu, jamban letaknya di luar rumah. Ada juga rumah yang takde jamban dan diorang akan buang air besar di sungai atau dalam semak je.

Pada suatu malam, Tok Usu XXX yang bendul ni nak buang air besar. Jadi dia ke kawasan belakang rumah ada semak dan satu batang kayu terbaring melintang dari pokok yang baru tumbang. Dia pun berkain pelikat saja pergi ke pokok yang tumbang tu lalu bertenggek untuk berak. Oleh kerana waktu tu dah malam, Tok Usu XXX ni rasa seram sejuk. Untuk elak kena kacau dengan hantu; Tok Usu XXX azan kuat-kuat dalam semak tu masa tengah berak dengan harapan hantu syaitan akan lari dan tak ganggu dia berak kalau dia azan. Nak tahu apa yang jadi?

Tiba-tiba badan dia terangkat sendiri dan dia seolah-olah dicampak ke serumpun pokok pisang. Habislah dia tercampak. Lepas tu ada satu suara dari orang yang tak kelihatan menegur;


"Hoi! Kalau nak berak tu berak je lah! Buat apa nak azan-azan? Takde adab eh? Kurang ajar!"


Tok Usu XXX apa lagi, lari lintang pukang lah lepas kena campak tu. Rupa-rupanya menurut cerita, yang campak dia tu jin Islam yang kebetulan ada kat situ masa dia tengah buang air. Perbuatan dia melaungkan azan masa tengah buang air besar membangkitkan kemarahan jin tersebut kerana dikatakan tidak menghormati azan.



Inilah antara cerita dari Atok yang masih aku ingat sampai sekarang. Tak lah kelakar, tapi agak menarik juga. Bukan apa, tujuan aku tulis ni adalah untuk menghimpun kembali cerita-cerita dari Atok aku atau dari orang-orang lain yang pernah bercerita pada aku sepanjang proses aku membesar. Kadang-kadang, ada perkara menarik dalam cerita-cerita ni semua. :)

Tuesday, January 13, 2015

Kerja

Aku kerja kilang. 6 hari, satu minggu. Cuti hari Ahad. Cuti lah waktu untuk aku berehat.
Tapi selalu time bila aku nak berehat hari Ahad tu; bini aku akan datang membebel :


"Abang ni kalau cuti asyik terbaring je berehat. Tak ada kerja ke?"


Dah tu bila aku diam dia siap dok tambah kot belakang;


"Kalau takde kerja meh sini kerjakan saya."




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...