DOPPELGANGER
KARYA : NOOR RIZUWAN BIN ZOLKEPLI
Qorin 2 : Selamat tengahari Qorin.
Qorin 1 : Selamat… Eh? Macamana kau tahu sekarang ni sudah waktu tengahari?
Qorin 2 : Tengoklah matahari tu! Tegak meninggi di atas kepala; dan rasai kepanasan di
bawah telapak kaki. Memang sudah waktu tengahari!
Qorin 1 : Betul juga. Aku tak perasan. Sudah lima hari aku berjalan di padang
pasir ini. Aku terlalu letih dan dahaga sampai sudah tak dapat membezakan
antara siang dan malam, pagi dan petang. Yang ada dalam fikiran aku
hanyalah tanah lapang yang kosong dan cuaca panas.
Qorin 2 : Aku faham. Aku pun sudah lima hari berjalan di padang pasir ini. Bezanya,
aku lebih lasak daripada kau. Jadi, aku masih sedar akan setiap perubahan
yang berlaku.
Qorin 1 : Begitu… Tapi, apa yang menghairankan aku; macam mana kau tahu nama
aku? Lagi satu, ke mana sebenarnya arah tujuan kau merentasi padang pasir
ini?
Qorin 2 : Aku? Aku sedang menuju ke arah Barat. Kau pula?
Qorin 1 : Aku menuju arah yang bertentangan. Timur. Apa yang kau cari di Barat?
Qorin 2 : Berhijrah. Aku mengharapkan kehidupan yang lebih baik di Barat dan
meninggalkan segala keburukan dan masalah yang telah aku cetuskan di Timur.
Qorin 1 : Pelik? Tujuan kita sama. Tapi aku ingin nasihatkan kau sedikit perkara.
Qorin 2 : Apa dia?
Qorin 1 : Kehidupan di Barat bukanlah bagus sangat. Mungkin kau akan sengsara di
sana.
Qorin 2 : Kenapa pula kau berkata begitu?
Qorin 1 : Barat adalah sebuah tempat yang membangun. Kota-kotanya dibina oleh
gugusan bangunan pencakar langit. Kehidupan di sana berjalan dengan pantas
sehingga kau tidak mampu menikmati hidup. Tambahan pula, manusia di sana
bukanlah jenis yang bermanis muka dan murah senyuman.
Qorin 2 : Tapi aku dengar Barat adalah tempat untuk mengejar impian. Segala cita-cita
akan tercapai di sana.
Qorin 1 : Cita-cita kau akan tercapai sehinggalah kau sendiri yang memusnahkannya.
Permulaan yang baik di Barat tak semestinya menjanjikan pengakhiran yang
sempurna. Setelah kau berjaya di sana, kau akan mula lupa diri dengan
menindas orang lain dan melakukan pelbagai kerosakan yang akhirnya akan
menjerat engkau.
Qorin 2 : Itu ke yang berlaku pada kau dan menyebabkan kau ingin berhijrah ke Timur?
Qorin 1 : Ya.
Qorin 2 : Kalau begitu, pilihan yang kau buat ini pun bukannya pilihan yang tepat.
Qorin 1 : Maksud kau?
Qorin 2 : Timur pun bukannya satu tempat yang baik untuk dituju untuk membina hidup
baru. Hidup di Timur banyak cabarannya dan kau akan mudah tewas di sana.
Timur adalah sebuah tempat yang aman damai dan penduduknya saling tolong-
menolong antara satu sama lain dalam masyarakat desa.
Qorin 1 : Baguslah kalau macam tu!
Qorin 2 : Tapi Timur adalah satu tempat yang amat daif. Kau tidak akan dapat hidup
mewah di sana. Mereka tidak kenal apa itu intan dan permata. Kadangkala,
pada musim-musim tertentu; keperluan untuk hidup begitu menekan dan
senyuman manis yang kau terima tadi akan bertukar menjadi salam berdarah
demi kelangsungan hidup.
Qorin 1 : Kenapa sampai begitu teruk ia bertukar? Dari senyuman yang manis kepada
salam berdarah?
Qorin 2 : Manusia tak mampu mengubah persekitaran. Mereka harus melakukan pelbagai
perkara mengikut keperluan alam.
Qorin 1 : Tapi pada pendapat aku, semua itu boleh dielakkan.
Qorin 2 : Bagaimana?
Qorin 1 : Dengan mengubah persekitaran. Jadi, mereka tak perlu lagi menurut sahaja
keperluan alam yang mendesak itu.
Qorin 2 : Maksud kau? Aku masih tak faham.
Qorin 1 : Kita bangunkan Timur yang daif itu. Jadikannya sebuah kota maju dengan
bangunan-bangunan pencakar langit. Kita tambah segala kemudahan yang perlu
supaya tidak ada lagi orang yang saling berbunuhan demi memenuhi
kelangsungan hidup.
Qorin 2 : Jadi, itu yang akan kau lakukan sekiranya tiba di Timur nanti?
Qorin 1 : Ya!
Qorin 2 : Baguslah! Tapi itu tetap tak dapat mengubah tekad aku untuk berhijrah ke
Barat.
Qorin 1 : Kau teruskan sahajalah niat kau untuk ke Barat itu. Aku tidak akan
menghalang. Tapi apa yang akan kau buat di sana nanti?
Qorin 2 : Mengejar cita-cita aku untuk hidup mewah.
Qorin 1 : Itu aku tahu. Tapi bagaimana caranya?
Qorin 2 : Aku akan lakukan sepertimana perkara terbaik yang aku buat di Timur dahulu,
merompak. Tambahan pula, aku dengar orang-orang di Barat kaya-kaya belaka.
Qorin 1 : Memang bagus cara kau itu. Tapi aku nak bagi kau satu nasihat lagi.
Qorin 2 : Nasihat lagi? Baiklah, apa dia?
Qorin 1 : Kalau kau nak merompak di Barat, kau tidak boleh menggunakan cara
rompakan seperti di Timur. Cara rompakan di Barat amat berbeza. Mereka
tidak lagi menggunakan senjata atau melakukannya secara terang-terangan
kerana cara ini akan memudahkan mereka tertangkap dan gagal.
Qorin 2 : Habis tu bagaimana? Itulah cara merompak sebagaimana aku lakukan di
Timur.
Qorin 1 : Tetapi di Barat, mereka merompak menggunakan sistem. Mereka melakukannya
secara tersembunyi dan halus. Tiada kekerasan namun hasilnya amat lumayan.
Dalam sekelip mata, berjuta-juta ringgit telah masuk ke dalam akaun kau.
Qorin 2 : Sebegitu hebat? Bagaimana kau tahu ini semua?
Qorin 1 : Aku juga perompak. Aku seorang perompak di Barat, namun modus operandi
aku berlainan sedikit.
Qorin 2 : Bagaimana kau melakukannya?
Qorin 1 : Aku melakukannya menggunakan kuasa yang ada pada aku. Aku melakukan
penyelewengan wang, pecah amanah, rasuah dan sebagainya. Perkara-perkara
seperti ini juga dipanggil sebagai merompak di Barat.
Qorin 2 : Begitu… Jadi, kau ni pun rupa-rupanya adalah perompak. Tak sangka pula
boleh bertemu di tengah-tengah padang pasir ini.
Qorin 1 : Ya… Mungkin kebetulan. Tapi, dari tadi kau masih tak menjawab satu
daripada soalan aku.
Qorin 2 : Apa dia? Soalan yang mana?
Qorin 1 : Macam mana kau boleh tahu nama aku?
Qorin 2 : Soalan yang itu? Macam ni, sebenarnya aku ni adalah engkau; dan engkau
adalah aku. Begitulah caranya bagaimana aku boleh tahu siapa kau dan apa
nama kau!
Qorin 1 : Aku tak faham.
Qorin 2 : Aku adalah kau, dan kau adalah aku!
Qorin 1 : Masih tak faham… Tapi bagaimana? Adakah aku sedang berhalunisasi di
tengah-tengah padang pasir yang panas ini?
Qorin 2 : Tak… kau tak berhalunisasi. Sebenarnya, aku ni adalah doppelganger kau.
Qorin 1 : Doppelganger?
Qorin 2 : Ya! Doppelganger! Kita sama tapi tak satu.
Qorin 1 : Maksudnya, kau adalah aku dan aku adalah kau. Tapi kita tak sama?
Qorin 2 : Ya! Kita bukan kembar seiras, adik beradik atau refleksi dalam cermin tetapi
kita adalah individu yang sama dalam dua jasad yang berlainan. Dan kita juga
bukan klon.
Qorin 1 : Ada juga perkara macam ini di dunia? Tapi, kenapa sebelum ni aku tak
pernah bertemu dengan kau?
Qorin 2 : Aku kan berada di Timur sedang kau berada di Barat.
Qorin 1 : Betul juga.
Qorin 2 : Ada lagi satu perkara yang aku rasa kau perlu tahu. Mengikut mitos
sesetengah budaya; jika doppelganger bertemu… salah seorang daripada
mereka yang lebih rendah tuahnya berbanding yang satu lagi akan mati atau
ditimpa malang serta sial seumur hidup.
Qorin 1 : Tapi kita sudah bertemu di sini. Di tengah-tengah perjalanan menuju hidup
yang baru.
Qorin 2 : Ya, dan hanya salah seorang sahaja daripada kita yang akan berjaya.
Qorin 1 : Itu… biar takdir sahaja yang menentukan.
Qorin 2 : Ya, biar takdir yang menentukan. Marilah kita meneruskan perjalanan masing-
masing.
Qorin 1 : Baiklah, selamat jalan doppelganger! Semoga kau yang mati dahulu!
Qorin 2 : Selamat jalan doppelganger! Semoga hidup kau dirundung sial!
* INI ADALAH SKRIP 10 MINIT KARYA AKU - RIZ. HAKCIPTA PENUH MILIK AKU. SO, JIKA ADA SESIAPA YANG TERTARIK UNTUK MEMENTASKAN TEATER NI, BOLEHLAH E-MAIL DULU KAT rizprahara@mail.com UNTUK MINTA KEBENARAN KE...APA KE. SANGAT BERBESAR HATI JIKA DIBERI KOMEN2 YANG MEMBINA. :)