WATAK – WATAK :
Romulus – Seorang demi-god yang dibuang ke dalam sungai semasa kecil. Dibesarkan
oleh Ibu Serigala bersama pasangan kembarnya, Remus. Merupakan seorang
yang licik dan pandai berkata-kata. Berusia sekitar 17 tahun.
Remus – Adik kembar Romulus. Dibesarkan bersama abang kembarnya dalam kawanan
serigala. Juga merupakan seorang demi-god. Perwatakannya agak kasar dan
bengis seperti seekor serigala.
Ibu Serigala – Seorang wanita yang disumpah oleh dewa perang Roman, Mars menjadi
seekor serigala jadian. Merupakan ibu susuan yang membesarkan Romulus
& Remus. Seorang yang tegas dan tetap pendirian.
Setting pentas : Di dalam sebuah hutan pada waktu tengah malam. Bulan mengambang
terang. Ada latar sekawan serigala sedang berehat pada backdrop.
(Romulus sedang bersandar di atas seketul batu besar sambil merenung bulan. Tiba-tiba, Remus datang menyapanya tanpa disedari.)
Remus : Saudaraku! Ada suatu perkara yang mahu aku bicarakan dengan kau!
Romulus : (Terkejut.) Apakah halnya saudara kembarku Remus, Panglima Serigala
Hitam? Begitu pentingkah sehingga kamu tidak boleh menunggu hari esok?
Mengganggu rehatku di malam hari begini?
Remus : Sejak bila pula kaum serigala macam kita berehat di malam hari?
Romulus : Aku penat Remus. Kita baru sahaja berperang dengan tentera Raja Amulius
lewat petang tadi. Sekurang-kurangnya, benarkanlah aku berehat sebentar di
bawah bulan terang ini. Biarlah aku melayan pukauan kilauan kecantikan Si
Dewi Bulan, Luna. Izinkan aku memuja dan memanggil namanya. (Romulus
kemudiannya melolong ke arah bulan seperti seekor serigala.)
Remus : Sudahlah Romulus… Luna takkan turun jawab panggilan kau! Hentilah
bermimpi! Lolongan aku yang lebih nyaring pun gagal bawa dia turun.
Romulus : Jangan cuba pandang rendah kemampuan aku saudaraku! Luna lebih
sukakan suara lunakku berbanding suara garaumu yang seakan-akan suara
anjing kurap itu!
Remus : Aku bukan anjing sial! Aku serigala!!!
(Remus menampar Romulus dan mereka berdua kemudiannya saling kejar-mengejar dan bergasak seperti dua ekor serigala yang sedang bergurau sambil acah-mengacah antara satu sama lain. Selepas itu, mereka berdua melolong serentak dengan lolongan yang amat panjang sambil mendongak ke arah bulan.)
Romulus : Lihat saudaraku! Suara aku lebih nyaring daripada suaramu!
Remus : Diam Romulus! (Meradang.) Sudahlah… aku ada benda yang nak bincang
dengan kau.
Romulus : Mengenai apa saudaraku? Mengenai cintamu terhadap Luna ke? (Menyindir.)
Remus : Peperangan kita dengan Amulius!
Romulus : (Terdiam.) Kenapa?
Remus : Aku sudah mula ragu dengan kemampuan askar-askar kita.
Romulus : Apa? Masakan begitu Remus? Aku tak pernah mendengar kata-kata selemah
ini keluar daripada mulutmu saudaraku. Ke mana hilangnya semangatmu?
Bukankah kau yang selalunya paling mabuk darah dalam kawanan kita?
Remus : Aku belum hilang semangat Romulus! Mabuk darah aku juga masih ada! Aku
cuma bimbang kedudukan askar-askar kita. Setiap hari bilangan kita semakin
sedikit. Walaupun askar-askar kita ada kuku dan taring yang tajam, tapi itu
belum mampu untuk melawan tentera Amulius. Mereka ada busur, perisai, dan
pedang. Badan mereka dibaluti besi yang melindungi kulit. Tentera serigala
aku dah tak mampu bertahan! Terpaksa saja aku arahkan mereka berundur
seperti peperangan lewat petang tadi. Kau sendiri tahu kan?
Romulus : Aku faham keadaan ini saudaraku. Tapi apa yang bisa kita buat selain terus
menentang? Sudah beribu utusan dan surat rundingan aku hantar kepada
kerajaan Alba Longa supaya berhenti memburu kita. Raja Amulius yang
kejam itu masih lagi terus-terusan memburu kita.
Remus : Jahanam si tua kutuk Amulius! Tak henti-henti susahkan hidup kita! Takut betul
kita akan rampas takhta dia macam ramalan pendeta. Aku dah mati kutu untuk
melawan. Aku tak takut mati sebab melawan, aku cuma tak nak kalah! Kalau
kita menentang dengan berperang, kita tak mungkin akan menang. Seluruh
tentera empayar Alba Longa akan menentang kita!
Romulus : Habis tu, apa yang kau mahu aku lakukan saudaraku?
Remus : Rundingan terakhir…
Romulus : Rundingan terakhir?
Remus : Kita buat rundingan terakhir dengan Amulius. Aku jumpa dia depan-depan dan
bincang dengan dia buat kali terakhir. Walaupun kita tahu yang rundingan ni
akan gagal, tapi ini hanya helah kita untuk bertemu dia secara depan-depan.
Dan jika benar rundingan ni gagal, aku sendiri yang akan penggal kepala dia
depan askar-askar dia sendiri!
Romulus : Dan kemudian… kepala kau pula yang akan dipenggal askar-askarnya?!
Tidak… aku tak akan benarkan kau pergi. Aku belum bersedia menerima
kehilanganmu saudaraku. Kalau macam itu, biarlah aku ikut serta!
Remus : Bodoh! Habis tu, siapa pula yang nak mengetuai kawanan tentera serigala dan
puak serigala kita kalau betul-betul aku dibunuh?! Macam mana pula kalau kita
kena perangkap jika pergi berdua? Sebab tu, salah seorang daripada kita saja
yang pergi. Biarlah aku pergi!
Ibu Serigala : Biar aku yang pergi! (Masuk secara tiba-tiba daripada belakang dan
memotong perbualan Romulus dan Remus.)
Romulus & Remus : Ibu!
Romulus : Apa yang ibu perkatakan ini? Apakah ibu hilang akal atau…
Ibu Serigala : Rom! Biar ibu sahaja yang pergi. Kalian tak perlu risau
atau bertelagah. Anakku Rem, tak perlulah kamu cuba menjadi wira.
Tenaga dan hayatmu masih penting dan diperlukan dalam puak kita. Biar Ibu
sahaja yang pergi bertemu dengan Raja Amulius. Jika gagal berunding, akan ibu
laksanakan apa yang dirancang kamu itu wahai anakku.
Romulus : Apa yang menyebabkan ibu berfikir yang saya akan benarkan ibu pergi
laksanakan apa yang dirancang kamu itu wahai anakku.
Romulus : Apa yang menyebabkan ibu berfikir yang saya akan benarkan ibu pergi
sedangkan Remus pun tidak saya izinkan?
Ibu serigala : Aku tak perlukan keizinan dari siapa-siapa, anakku Romulus! Aku tak
perlukan keizinan daripada kamu ataupun Remus walaupun kamu berdua
anak susuanku yang aku lindungi daripada kecil. Aku juga tak perlukan
keizinan siapa-siapa sepertimana ketika aku berkeras membawa kamu
berdua masuk dalam kawanan puak serigala sewaktu kamu masih bayi.
Aku juga tak perlukan keizinan siapa-siapa untuk bersuara lantang
menentang keganasan dan penindasan yang dilakukan dewa perang Mars ke
atas orang-orang kampung kami suatu ketika dahulu. Dan aku juga tak
perlukan keizinan siapa-siapa untuk membuat pilihan – sama ada meminta
maaf dan menjadi gundik Mars sebagai hukuman atas kelantanganku; atau
disumpah menjadi serigala jadian seumur hidup.
Romulus : Kami faham benar dengan sifat tegas ibu itu… Tapi kami tak sampai hati
membiarkan ibu pergi. Itu umpama membunuh ibu dengan cakar kami
sendiri, ibu! Kami tak mungkin biarkan!
Remus : Betul tu ibu! Biar saya saja yang pergi! Saya ada cakar dan gigi yang kuat
macam serigala jantan yang lain. Malah lebih kuat! Saya juga pandai bermain
belantan dan pedang; sama hebat macam manusia lain. Biar saya saja yang
pergi ibu!
Ibu Serigala : (Pause.) Apakah sebenarnya kamu berdua memandang rendah kemampuan
ibu? Aku belum cukup tua dan uzur, kamu tahu? Aku boleh saja masuk
ke kawasan musuh atau istana Raja Amulius dengan tenang. Menggoda
seluruh isi pengawal istana agar terpikat dengan kecantikanku di siang
hari, kemudian menerkam dan membaham tengkuk Raja Amulius yang
kejam itu dengan gigi dan rahangku yang kuat lagi tajam ini pada malam
hari… apabila aku telah bertukar menjadi serigala. Biar tersembur seluruh
singgahsana dengan darah hanyir dan gema pekikan si Amulius durjana
tu!
Remus : Ibu…
Romulus : (Memotong percakapan Remus.) Membujur lalu, melintang patah. Saya tidak
boleh menghalang, namun saya juga tidak boleh membenarkan ibu pergi…
Saya faham benar dengan sifat ibu. Apa yang ibu cakap, ibu akan buat.
(Memujuk.) Namun ibu, izinkanlah saya menghantar beberapa ekor panglima
turut ikut serta bersama ibu… Biarlah Tok Kelabu Liberius, Lycanus, dan
Lupercus Si Perang ikut sama sebagai pengawal dan pendamping ibu.
Ibu Serigala : Tak perlu anakku Romulus. Mereka hanya akan menyulitkan
rundingan. Aku lebih suka perkara ini dilakukan dengan tenang dan
lembut; dengan penuh godaan. Hanya wanita sahaja yang dapat melakukan
perkara seperti ini. Kami faham benar dengan cara yang sebegini.
Kecantikan yang membunuh!
(Ibu Serigala terus berlari keluar daripada pentas. Remus kemudiannya berdiri di sebelah Romulus sambil memerhati ke arah Ibu Serigala yang berlari keluar.)
Remus : Sekarang macam mana ni Romulus? Ibu dah pergi.
Romulus : Kau pergi panggil Tok Kelabu Liberius, Lycanus, dan Lupercus Si Perang.
Arahkan mereka ikuti jejak ibu daripada jauh!
Remus : Kalau setakat mengekor saja, lebih baik aku sahaja yang buat!
(Remus berlari keluar daripada pentas ke arah yang sama semasa Ibu Serigala keluar daripada pentas.)
Romulus : Remus! Saudaraku Remus! Nanti dulu!
(Romulus mundar-mandir kerisauan mengenai keselamatan Ibu Serigala & Remus. Kemudian, Romulus juga keluar pentas ke arah yang sama seperti Ibu Serigala & Remus. Cahaya fade-out dan kemudian black-out.)
No comments:
Post a Comment